Ahmad Maslan, jangan menyibuk urusan Bersatu – Wan Saiful

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan pemimpin-pemimpin dalam Umno khususnya Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa tidak henti-henti melontar tohmahan kepada Bersatu.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ahmad yang mendakwa Bersatu menjadi pemecah undi berdasarkan penubuhan parti tersebut daripada serpihan Umno.

“Yang merayu sokongan DAP ialah Umno. Yang paksa pembubaran DUN Melaka ialah Umno. Yang bergaduh mengenai kontrak pasir ialah Umno.

“Yang jatuhkan Ketua Menteri Umno ialah Umno. Ini paling pelik.

“Apa demam Ahmad Maslan ni? Kenapa tak bercakap mengenai Umno sebagai perosak kerajaan? Atau Umno sebagai penolak perpaduan Melayu?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Wan Saiful berkata Bersatu menawarkan politik kesatuan yang bersih, telus, berintegriti dan stabil.

Katanya lagi, bukan Bersatu yang menimbulkan masalah di Melaka sehingga terpaksa diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita istiqamah mahu fokus kepada menjaga kesihatan dan ekonomi rakyat. Tapi di Melaka, Umno yang bunuh Umno sehingga habis seluruh negeri jadi susah.

“Bersatu bukan pemecah undi. Tapi Bersatu komited untuk menyelamatkan Melaka. Menyelamatkan Melaka dari mereka yang mahu membawa DAP dan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan. Menyelamatkan Melaka daripada ketidakstabilan politik,” katanya.

Beliau berkata Bersatu juga komited untuk menyelamatkan Melaka daripada ketamakan peribadi supaya kekayaan negeri boleh dikongsi bersama dengan semua rakyat.

“Menyelamatkan Melaka daripada pemimpin parti yang tikam kawan sendiri.

“Agenda kami ialah kerajaan prihatin yang berintegriti. Takkanlah dengan agenda ini pun tak boleh setuju untuk duduk sekali?

“Lebih baik Ahmad Maslan tumpukan kepada masalah perpecahan Umno dan jangan menyibuk mengenai Bersatu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights