Hak jagaan anak angkat pemilik Rumah Bonda diserah kepadda JKM

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia tiga tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Keputusan itu dibuat selepas Majistret Norfarahain Roslan menolak permohonan Siti Bainun,29, selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak tersebut, lapor Kosmo Online.

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun berkata mahkamah memutuskan perkara itu berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia iaitu ibu angkat ingin menjaga atau mengambil anak angkat warga negara republik itu perlu berusia 30 tahun ke atas dan telah berkahwin selama lima tahun.

Sehubungan itu kanak-kanak perempuan tersebut akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras (RKKTBC) selama tiga tahun.

Bagaimanapun menurut peguam itu, pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi berhubung dengan keputusan Mahkamah Majistret hari ini.

Sementara itu mahkamah menetapkan 2 dan 16 November ini untuk pendengaran empat lagi kanak-kanak yang dalam permohonan sama sebelum memutuskan hak penjagaan.

Siti Bainun, 29, dan empat lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan hak penjagaan tersebut melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah pada 2 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut adalah juga bagi pembatalan perintah interim yang di berikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh sebelum ini, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights