Langgar SOP: Tindakan BN melampau – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan keputusan pihak berkuasa hanya mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada Barisan Nasional (BN) susulan penganjuran majlis pelancaran jentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di ibu negara malam tadi.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan lebih tegas perlu diambil supaya perkara seperti itu tidak berulang lagi.

“Inilah Malaysia. Berkumpul beramai-ramai dan buat majlis perlancaran jentera PRN Melaka, kena denda RM10,000.

“Peserta perhimpunan cecah ribuan orang. Tak ada penjarakan sosial, tak semak MySejahtera, tak jaga pelitup muka, tak ada usaha nak jaga negara dari Covid.

“Pihak berkuasa boleh sahaja nak batalkan perhimpunan. Tapi majlis sempat buat sampai habis. Siap ada live lagi. Mana sikap adil? Mana undang-undang?

“Jadi, kalau macam ni gayanya, asal ada duit, buat perhimpunan sampai habis, bayar kompaun. Setiap peserta hulur seringgit, cukup bayar RM10,000,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan BN itu sangat melampau dan meminta semua pihak memberi perhatian kepada perkara tersebut.

“Jangan buat-buat puas hati dengan kompaun cukup syarat ni. Kita semua tahu ini tindakan yang tak serius, main-main dan menebalkan ego ahli politik. This is too much,” katanya.

BN malam tadi dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Kompaun tersebut dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kepong mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ia susulan kegagalan BN memastikan penjarakan fizikal ketika majlis pelancaran jentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia di ibu negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights