Pelaksanaan 5G DNB wajib dibahas di Parlimen – PH

JAWATANKUASA Komunikasi, Digital dan Multimedia Pakatan Harapan (PH) berpendirian bahawa pelaksanaan jaringan 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) wajib dibahaskan di Parlimen.

Kenyataan bersama itu berkata, isu tersebut juga perlu dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur, sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, pihak mereka telah mengadakan mesyuarat dan meneliti isu pelaksanaan jaringan prasarana 5G oleh DNB itu, yang merupakan sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) dimiliki penuh oleh kerajaan.

“Jadi berdasarkan laporan media, DNB dijangka membelanjakan antara RM16.5 billion sehingga RM20 bilion selama 10 tahun untuk membina jaringan 5G, yang dikatakan mampu meliputi 80% negara menjelang 2024. Perbelanjaan untuk 600 staf DNB sahaja dijangka RM2.5 billion, atau purata RM34,722 seorang sebulan untuk tempoh sedekad itu.

“Berbeza dengan pengendalian spektrum perkhidmatan telekomunikasi untuk 2G, 3G dan 4G sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tidak ditawar untuk membida spektrum 5G tetapi terpaksa menyewa spektrum tersebut dari DNB saja pada satu kadar ditetapkan untuk satu jangkamasa yang ditetapkan.

“Maka dari sudut pendapatan kerajaan, langkah pelaksanaan 5G melalui monopoli DNB ini bermaksud kerajaan akan berisiko kehilangan pendapatan dari hasil jualan spektrum 5G terus kepada syarikat-syarikat telekomunikasi, yang dianggarkan bernilai RM7 hingga 12 bilion,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan anggota Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH iaitu Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai, PKR), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam, Amanah), Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut, DAP), Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang, DAP), Chan Ming Kai (Ahli Parlimen Alor Setar, PKR) dan Loh Ker Chean (Pengarah Komunikasi Wanita PKR).

Sehubungan itu, menurut kenyataan itu, kerajaan perlu dipertimbangkan semula perkara berkenaan.

“Ia kerana pada ketika pendapatan tahunan kerajaan sangat tertekan akibat pandemik Covid-19, sudah pasti langkah ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap pendapatan kerajaan.

“Selain itu, berdasarkan wawancara Ketua Pegawai Eksekutif DNB pada 16 Oktober lalu, DNB dijangka membuat siri pinjaman bank serta menerbitkan sukuk menjelang tahun hadapan yang keseluruhannya berjumlah RM 8 billion.

“Oleh kerana DNB dimiliki penuh oleh kerajaan, maka pinjaman ini merupakan satu bentuk liability kontingen (contingent liability) yang merupakan risiko yang terpaksa dipikul rakyat akhirnya nanti sekiranya DNB gagal membayar balik hutang tersebut.

“Hal ini wajar dipertimbang semula dengan cukup serius, memandangkan bebanan hutang kerajaan yang dijangka meningkat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam aspek pelaksanaan secara teknikal, pihaknya juga meneliti beberapa risiko besar termasuk isu-isu legasi yang mungkin timbul apabila perkhidmatan telekomunikasi beralih ke teknologi yang lebih tinggi kelak.

Malah, katanya, berdasarkan garis panduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 9 Julai 2021, syarikat-syarikat telekomunikasi hanya dibenarkan untuk menggunakan spektrum sedia ada untuk menyediakan perkhidmatan sehingga tahap 4G sahaja dan tidak 5G atau lebih dari itu.

“Ini adalah kekangan teknologi yang amat tidak wajar, menghilangkan sifat ‘keberkecualian teknologi’ (removal of ‘technology neutrality’), dan wajib dipertimbang semula.

“Oleh itu, memandangkan risiko-risiko yang telah dinyatakan di atas, kami berpendirian bahawa DNB dan seluruh perancangan pelaksanaan jaringan 5G wajib dibahas di Parlimen, termasuk dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur, sebelum ia dilaksana sepenuhnya.

“Justeru, tiada sebab risiko-risiko ini perlu diambil, sedangkan ianya boleh dilaksanakan dengan cara yang mendatangkan hasil kepada kerajaan dan bukan sebagai hutang tidak langsung (‘contingent liability’) seperti ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights