Prestasi PRN Melaka cerminan BN hadapi PRU15

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi kayu pengukur prestasi Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang 

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata PRN Melaka perlu dihadapi dengan sebaiknya kerana keputusannya menjadi cerminan kepada kekuatan BN untuk mencatur strategi dalam menghadapi PRU15 nanti. 

Kata Timbalan Presiden Umno itu, penting bagi BN untuk mengurus dengan baik PRN Melaka yang bakal bermula hari penamaan calon pada 8 November ini. 

“Maka kita (parti) sedang berhadapan dengan keadaan ajal dan maut. Tak betul kita urus, tak betul kita hadapi dan tak serius maka maut akan menanti parti kita dan tidak ada lagi.

“Seperti tentera Islam nak menakluki Andalusia Jibraltar dibakar kapal, di belakang laut di depan musuh. Yang kita hadapi ini ialah untuk kita berhadapan dengan orang nak melihat kita gugur. Dengan orang berzaman-zaman nak melihat Umno/BN ini ditewaskan.

“Maka perlulah berhati-hati, berstrategi, menggunakan segala taktikal yang ada untuk kita menghadapi dan mengharungi PRN ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera BN bagi PRN Melaka di ibu negara malam tadi. 

Pelancaran itu disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Mohamad memberi semangat kepada jentera BN agar menghadapi segala cabaran dan halangan akibat kekangan prosedur operasi standard (SOP) kempen yang agak ketat ditetapkan oleh kerajaan.

“Walaupun kita berhadapan dengan pelbagai halangan tetapi ini tidak akan menjadi pematah semangat kepada kita. 

“Walaupun di Melaka kita tidak boleh berkempen seperti biasa kerana adanya arahan kerajaan untuk menjaga kesihatan awam lebih penting, itu jangan jadi satu batu penghalang kepada kita, kita dah biasa berkempen di Chini dengan SOP ketat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, menerusi barisan kepimpinan parti, beliau telah menyusun atur jentera parti terutama di bahagian paling penting iaitu di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Saya selaku Pengarah Pilihan Raya telah menyusun atur jentera parti…cara mana yang terbaik untuk kita susun jentera menghadapi PRN ini.

“Maka disusun begitu rapi… yang penting jaga PDM kerana perang kita menang kalah di PDM, jangan tinggalkan PDM… Kita ‘micro manage’ supaya di situ nanti kita akan meraih kejayaan, Insya-Allah.

“Jangan terganggu dengan halangan. Orang nak lihat kita gagal, orang nak lihat kita terkeliru, janganlah kita bagi apa-apa alasan, pikul tanggungjawab dan amanah yang penting kita mesti menang dalam PRN ini. 

“Kerana cerminan PRN Melaka ini merupakan cerminan kepada PRU nanti. Pengukuran prestasi kita banyak daripada PRN ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights