AGENDA pemerkasaan Bumiputera terus diberi keutamaan dalam Bajet 2022 bagi merapatkan jurang antara kaum di negara ini dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion disediakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan Bumiputera.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata daripada jumlah tersebut, RM6.6 bilion disediakan bagi kemudahan pendidikan anak-anak Bumiputera antaranya di bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju.
Beliau berkata, peruntukan itu disediakan dalam bentuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan.
“Sebanyak RM4.8 bilion ringgit lagi adalah untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat ‘anchor’ dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi juga dinaikkan.
“Ia diberikan kepada yang layak dengan kenaikan daripada sehingga RM300,000 kepada sehingga RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh lima tahun sehingga 31 Disember 2025,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek-projek berskala kecil perolehan Kerajaan pula, sebanyak RM200 juta akan disediakan.
“Sebagai tambahan, kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan mewujudkan program pemacu khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4.
“Ia adalah melalui kursus peningkatan kapasiti dan ‘on-the-job training’ dengan peruntukan RM10 juta,” katanya. – Malaysiapost