Bajet 2022: Agenda perumahan rakyat terus diperkasa – Reezal

PERUNTUKAN mengurus dan pembangunan berimbang kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mampu merealisasikan aspirasi perumahan berdaya huni, perkhidmatan perbandaran mampan dan perkhidmatan kebombaan yang efektif.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata akhirnya manfaat tersebut akan melimpah ke seluruh Keluarga Malaysia.

Beliau juga gembira cadangan-cadangan KPKT dalam memperkukuh Agenda Perumahan untuk rakyat diberi pertimbangan oleh kerajaan.

“Antaranya dengan meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.

“Ini membolehkan pembangunan rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat.

“Selain itu, kerajaan menyantuni kumpulan rentan yang tiada bukti pendapatan tetap seperti pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang tiada pendapatan tetap untuk memiliki kediaman idaman masing-masing,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata peruntukan RM2 bilion disediakan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada golongan ini membeli rumah.

Katanya, satu lagi berita baik dalam merancakkan semula industri dan landskap perumahan apabila kerajaan turut mempertimbang cadangan KPKT agar tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas.

“Saya juga bersyukur, hasrat KPKT untuk melebarkan lagi aspirasi Malaysia Berdaya Huni kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) juga diberi pertimbangan dengan peruntukan RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 PPR sedia ada.

“Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk deliver kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“Kepada pasukan KPKT saya — Ini masanya untuk kita terus bekerja. Ini masanya untuk kita terus deliver. Bajet 2022 kita jadikan realiti untuk semua,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights