Bajet 2022: Pemuda PN bangkitkan isu pemerkasaan anak muda

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) telah menyampaikan beberapa cadangan dan saranan yang memerlukan penekanan terhadap Bajet 2022 kepada Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, kata Ketuanya, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, cadangan dan saranan itu disampaikan pihaknya dalam sesi libat urus Bajet 2022 bersama Mohd Shahar, semalam.

Katanya, Mohd Shahar juga sempat berkongsikan tiga fokus Bajet 2022 iaitu memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.

“Sehubungan itu, melalui sesi libat urus ini, Pemuda PN berkesempatan menyampaikan beberapa cadangan dan saranan iaitu menyentuh agenda pemerkasaan anak muda, pemerkasaan wanita muda, penjanaan peluang pekerjaan baru, memangkin pembaharuan sektor ekonomi serta pemerkasaan pertubuhan bukan kerajaaan (NGO),” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, antara cadangan penting yang mereka bawakan kepada Timbalan Menteri Kewangan itu adalah untuk memberikan tambahan suntikan dana kepada inisiatif seperti ‘my future jobs’ untuk membantu lebih ramai anak muda mendapatkan pekerjaan.

“Pemuda PN juga mencadangkan agar Kementerian Kewangan mempertimbangkan subsidi yuran IPTA dan juga penyambungan moratorium secara bersasar buat keluarga yang terjejas akibat Covid-19 dan masih belum pulih sepenuhnya bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kami juga mencadangkan agar kerajaan menyokong institusi pengajian agama seperti sekolah-sekolah pondok serta Maahad Tahfiz di seluruh negara, kami menyarankan agar kerajaan menyediakan peruntukan RM300 juta untuk membantu institusi-institusi ini membayar gaji tenaga pengajar serta keperluan-keperluan lain

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji semula kaedah pemberian skim-skim bantuan seperti Geran Agropreneur MAFI untuk peniaga IKS agar lebih ramai mendapat manfaat dari bantuan yang telah diumumkan,” katanya. Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights