Bajet 2022: Penjawat awam, pesara terima Bantuan Khas Kewangan

KERAJAAN mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 dan sejuta pesara sebanyak RM350 ringgit dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bantuan itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, ia terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran dalam menangani pandemik Covid-19.

“Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, semua inisiatif yang dibentangkan pada hari ini tidak akan bermakna sekiranya pelaksanaannya tidak sampai kepada ahli Keluarga Malaysia dengan tuntas dan berkesan.

“Sehubungan itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa pemantauan yang diselaras oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Bajet 2022 berjaya mencapai objektif disasarkan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights