MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memohon doa orang ramai agar pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat jam 4 petang ini, berjalan lancar.
Beliau berkata, pembentangan Bajet 2022 ini amat penting bagi Keluarga Malaysia untuk mencapai agenda pemulihan ekonomi dan negara daripada pandemik Covid-19.
“Salam semua, lebih kurang jam 4 petang hari ini, saya akan membentangkan #Bajet2022 di Dewan Rakyat. Saya mohon anda mendoakan agar pembentangan ini berjalan lancar.
“Bajet ini amat penting bagi #KeluargaMalaysia mencapai agenda pemulihan yang akan membawa kita keluar dari pandemik ini.
“InsyaAllah, bajet yang dirangka secara inklusif ini akan memastikan kesejahteraan, kelangsungan perniagaan dan juga pemulihan ekonomi kita semua,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Bajet 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada jam 4 petang hari ini oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ia adalah sebagai bajet pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan.
Tiga matlamat utama Bajet 2022 digariskan, iaitu melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.
Berdasarkan kenyataan Pra-Bajet pertama dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) pada Ogos, kerajaan akan memastikan bajet bersifat komprehensif dan inklusif, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia. – Malaysiapost