Bajet 2022: KWP komited tingkat kesejahteraan, kebajikan warganya

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan memastikan peruntukan yang disediakan melalui Bajet 2020 memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata walaupun KWP tidak menerima jumlah peruntukan yang diharapkan, namun akan tetap terus komited meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, KWP menyambut baik Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur Sejahtera’ yang memberikan tumpuan kepada tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Menurutnya, belanjawan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kehidupan rakyat Malaysia mengharungi pasca Covid-19.

“KWP menerima peruntukan sebanyak RM414,209,900 bagi tujuan pembangunan di Wilayah Persekutuan merangkumi projek ‘Public Private Partnership’ (PPP) dan ‘Private Finance Initiative’ (PFI), membaik pulih jalan-jalan dan jambatan-jambatan, baik pulih sungai, ‘sewerage non-river’ (SWR) dan ‘River of Life’ (ROL), selain pembangunan di Labuan dan Putrajaya.

“Manakala RM256,601,400 pula diperuntukkan sebagai peruntukan mengurus termasuklah bagi tujuan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar, perancangan dan pembangunan serta pengurusan.

“Selain bagi program khusus untuk penyelenggaraan bas Putrajaya, diskaun tambang feri Labuan dan naik taraf Dataran Pahlawan Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih apabila kerajaan persekutuan bersedia memperuntukkan sebanyak RM65 juta untuk membina sebuah sekolah menengah agama di Labuan.

“Pastinya pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di Wilayah Persekutuan akan membantu industri tersebut kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Manakala pengecualian cukai pelancongan yang dilanjutkan kepada 31 Disember ini turut dapat membantu memulihkan industri pelancongan di ketiga-tiga wilayah,” katanya.

Menurutnya, KWP juga memuji program ‘Community Feeding’ kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di beberapa negeri termasuklah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Program ini akan menyediakan makanan tambahan lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

“Program ini akan memastikan kanak-kanak miskin bandar tidak akan kelaparan dan dapat meringankan beban keluarga yang terkesan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights