KEMENTERIAN Kewangan telah berusaha sehabis baik dalam memenuhi semua tuntutan rakyat melalui Bajet 2022 yang dibentangkan semalam.
Menterinya Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata namun adalah mustahil semua permintaan itu dapat dipenuhi dengan kekangan kewangan yang dihadapi negara.
Beliau memohon maaf jika belanjawan yang dibentangkan semalam terdapat kekurangan, namun memberi jaminan kesejahteraan Keluarga Malaysia menjadi keutamaan.
“Pagi ini saya kembali lagi ke Parlimen, tapi dalam suasana lebih santai.
“Penyediaan Bajet 2022 bukanlah mudah. Memang mustahil untuk kami penuhi semua permintaan, tetapi Team MOF telah berusaha sehabis baik dengan kekangan kewangan yang ada.
“Saya menyusun jari sepuluh jika ada sebarang kekurangan tapi yakinlah bahawa kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.
Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang dibentangkannya semalam adalah bajet terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah negara.
Memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion atau 20.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bajet ini juga menyaksikan peningkatan sebanyak RM8.6 bilion berbanding Bajet 2021 iaitu RM322.5 bilion.
Menurut Tengku Zafrul, daripada jumlah itu, sebanyak RM233.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, sejumlah RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Sementara, baki sebanyak RM23 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19. Dalam pada itu, sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka. – Malaysiapost