Vaksin Covid-19: JKN Perak tunggu laporan kematian remaja

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak masih menunggu laporan siasatan lengkap pakar forensik berhubung dakwaan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia selepas sehari menerima dos kedua vaksin Covid-19, pada 24 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai remaja berkenaan yang melengkapkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, pada 23 Oktober lalu.

Menurutnya, remaja berkenaan pada awalnya dilapor berasa sakit di tempat suntikan namun dimaklumkan tidak mempunyai alahan terhadap vaksin atau ubat, selain tidak menghidapi penyakit kronik.

“Remaja itu tidak memaklumkan sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama sebelumnya.

“Sekitar jam 9.30 pagi pada 24 Oktober iaitu sehari selepas menerima suntikan dos kedua, remaja berkenaan ditemui di rumahnya dalam keadaan sesak nafas lalu tidak sedarkan diri.

“Dia disahkan meninggal dunia jam 10.40 pagi di sebuah hospital swasta di Ipoh sewaktu menerima rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan , hari ini.

Dr Lay Ming berkata, bedah siasat telah dijalankan jam 3.40 petang pada hari yang sama kematian remaja terbabit, dan mendapati berlaku penyempitan saluran paru-paru (spontaneous bronchospasm) ke atas remaja itu.

Katanya, semua sampel tisu dalam badan mangsa dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Laporan bedah siasat itu dikategorikan masih belum lengkap kerana terdapat keputusan uji kaji yang belum diterima.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat yang lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights