Boleh berkunjung ke Sabah mulai esok

Boleh berkunjung ke Sabah mulai esok

LAWATAN sosial dibenarkan bagi warganegara dan bukan warganegara Malaysia untuk memasuki Sabah bermula esok.

Ia seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor sebelum ini, yang menyatakan kebenaran terbabit akan berkuat kuasa bermula 1 November.

Jurucakap Perkembangan Harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata beberapa ketetapan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi individu yang memasuki Sabah sudah diperincikan.

Katanya, syarat utama yang perlu dipatuhi individu dari Semenanjung Malaysia, Sarawak atau Labuan ialah mereka haruslah menerima vaksin lengkap dengan keputusan negatif ujian saringan Covid-19, tiga hari sebelum perjalanan.

“Selain itu, bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun perlu ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi individu bukan warganegara yang dibenarkan adalah isteri atau suami kepada rakyat Sabah dan tanggungannya, pemastautin tetap Sabah, pemegang pas kerja dalam perkhidmatan penting dan tanggungan, pemegang pas sementara MyKAS Sabah dan IMM13, pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (MM2H) serta pelajar IPTA dan IPTS.

“Bagi sub kategori lawatan pelabur atas jemputan kerajaan negeri Sabah (domestik dan antarabangsa), mereka perlu mempunyai surat jemputan kerajaan negeri, memiliki pas imigresen yang sah tempoh dan rombongan hendaklah tidak melebihi 10 orang dalam satu kumpulan.

“Selain itu, mereka juga dikehendaki memperoleh kebenaran khas memasuki Sabah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, individu sub kategori berkenaan yang tidak mendapat kebenaran boleh membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri Sabah melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan kelulusan khas. – Malaysiapost

Komen