Dr Md Nasir ganti Ahmad Idham sebagai CEO Finas baharu

Dr Md Nasir ganti Ahmad Idham sebagai CEO Finas baharu

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini mengumumkan pelantikan Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok sehingga 30 Oktober 2023. 

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, pelantikan itu bagi menggantikan kekosongan, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, selepas kontraknya berakhir berkuatkuasa 15 Oktober lalu. 

Beliau berkata, Md Nasir berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada tahun 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada tahun 2014. 

“Pengalaman luas dan ketokohan beliau dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa telah terbukti. 

“Ini menerusi kecemerlangan menggalas tanggungjawab termasuk sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni dan Warisan Budaya (ASWARA) dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Mohammad berkata, KKMM yakin dengan kepakaran dan pengalaman luas daripada Md Nasir dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya, beliau mampu memacu Finas sebagai badan peneraju untuk menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara. 

” Saya percaya sinergi antara beliau dan Ahli-Ahli Perbadanan FINAS akan terus memantapkan hala tuju, perancangan dan pelaksanaan yang lebih komprehensif bagi melonjakkan industri filem serta ekonomi kreatif di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya – Malaysiapost

Komen