Identiti pemandu Bezza lawan arus dikenal pasti

Identiti pemandu Bezza lawan arus dikenal pasti

POLIS telah mengenal pasti identiti pemandu Perodua Bezza melawan arus di Lebuhraya Senai-Desaru, Seri Alam di Johor, yang tular di media sosial sejak Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata susulan itu, pihaknya mengesahkan kes memandu secara melulu dan merbahaya membabitkan Perodua Bezza warna coklat yang dirakam melawan arus di lebuh raya terbabit. 

“Polis telah lihat satu rakaman video yang tular di media sosial berkenaan insiden tersebut semalam pada jam 3.45 petang di Lebuhraya Senai – Desaru.  

“Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Oktober lalu jam lebih kurang 11.45 malam. 

“Justeru, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya mengesan pemilik dan pemandu yang membawa kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Mohd Sohaimi berkata, pihaknya sudah mengarahkan pemandu berkenaan supaya tampil memberi keterangan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000,” katanya. 

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna lain. 

Video berdurasi 41 saat itu tular di Facebook sebelum ini dengan menunjukkan sebuah kenderaan dipandu melawan arus di lebuh raya. – Malaysiapost

Komen