Kenyataan Anwar bukti ada komplot

Kenyataan Anwar bukti ada komplot

KENYATAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah bertemu pemimpin Pakatan Harapan (PH) Melaka sebelum menarik balik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, bukti berlaku komplot untuk menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada. 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sehubungan itu semua pihak diminta tidak menyalahkan Umno yang menyebabkan kerajaan negeri itu tumbang, seterusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan. 

“Itu dia. Perjumpaan dan persetujuan sebelum empat Adun tarik sokongan. 

“Pengakuan rasmi dari PH hari ini bahawa mereka yang berkomplot dan tumbangkan kerajaan Melaka sehingga PRN perlu dibuat. 

“Jadi, jangan salahkan Umno lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya. 

Terdahulu hari ini Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiga bekas Adun tersebut telah bertemu dengan pemimpin PH Melaka sebelum menarik balik sokongan kepada Sulaiman. 

Kata Anwar, berdasarkan persefahaman ketika itu, ketiga-tiga mereka akan menyokong PH di Melaka untuk membentuk kerajaan baru. 

Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku apabila Sulaiman berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN sebelum kerajaan baru dibentuk. – Malaysiapost

Komen