Kes bayi didera pengasuh, polis masih jalankan siasatan

Kes bayi didera pengasuh, polis masih jalankan siasatan

POLIS masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan bayi berusia lima bulan didera pengasuh yang tular di media sosial, beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata bapa mangsa telah membuat laporan mengenainya pada jam 3.22 petang, Rabu lalu.

Menurutnya, bapa mangsa mendakwa ada kesan kemerahan pada lengan kiri dan kanan bayi itu ketika dalam jagaan pengasuh yang baru hari pertama menjaga mangsa.

Katanya, siasatan mendapati pengasuh tinggal bersama anaknya berumur empat tahun ketika kejadian.

“Pemeriksaan awal doktor mendapati, ada kesan ‘soft tissue injury’ pada lengan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes masih disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai dapat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Anis Shafika di talian 011-10951310.

Kes ini tular di akaun Facebook, Khidmat Pengasuh Shah Alam oleh penama Hazirah Khairi yang mengesyaki bayi perempuannya berumur lima bulan didera oleh pengasuh. – Malaysiapost

Komen