Lelaki rogol, bunuh adik ipar ditahan

Lelaki rogol, bunuh adik ipar ditahan

POLIS menahan seorang lelaki kerana disyaki merogol dan membunuh adik iparnya yang berusia 17 tahun di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas di Kelantan, kelmarin.

Lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit itu ditahan oleh sepasukan anggota polis di pos keselamatan Sekolah Kebangsaan Bakong, Pasir Mas kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 6.30 petang kelmarin sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada jam 8.45 pagi semalam, mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat lemas udara.

“Selain itu, hasil pemeriksaan pada bahagian badan mangsa mendapati ada kesan luka pada muka, leher dan koyakan baharu pada kemaluan mangsa.

“Serta terdapat kesan calar pada bahagian bahu kiri bahagian belakang dipercayai berpunca daripada cakaran kuku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shafien, suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -Malaysiapost

Komen