Pakej Cuti Penjawat Awam, Pesara Kerajaan disasar tingkatkan pelancongan domestik

Pakej Cuti Penjawat Awam, Pesara Kerajaan disasar tingkatkan pelancongan domestik

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan, melibatkan produk pelancongan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan pelancongan domestik. 

Program mendapat kerjasama Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan CUEPACS tersebut dirasmikan oleh Menteri MOTAC, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri di Kota Bharu. 

Nancy berkata, pelancaran pakej tersebut merupakan kesinambungan kepada Pakej Istimewa Penjawat Awam yang telah dilancarkan pada 3 September 2020 dengan memfokuskan kepada produk-produk di sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke negeri Sabah. 

Katanya, sejak dilancarkan, pakej istimewa itu menjana nilai jualan hampir mencecah RM510,000 walaupun dengan cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Kita menyasarkan pelancaran pakej kali ini dapat menarik seramai mungkin penjawat awam dan pesara kerajaan untuk melancong di dalam negara termasuk 1.2 juta ahli CUEPACS dan 700,000 pesara kerajaan. 

“Inisiatif Pakej Cuti Penjawat dan Pesara Kerajaan ini diharap dapat menyemarakkan kembali pelancongan domestik sekali gus membantu pemulihan industri pelancongan negara yang terkesan ekoran pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau turut memaklumkan, sehingga kini, sebanyak 457 pakej telah dibangunkan melibatkan produk-produk pelancongan dari seluruh Malaysia dengan tawaran harga pakej serendah RM120 seorang termasuk tempoh sah pakej adalah sehingga 30 Jun 2022. 

Katanya, selain pakej penginapan, para penjawat awam dan pesara kerajaan juga dapat menikmati tawaran diskaun bagi harga tiket sehingga 30 peratus.  

“Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah Putrajaya, I-City Shah Alam, Genting Highland, Sky Bridge KLCC, Sky Mirror Kuala Selangor, Taman Negara Endau Rompin, Taman Negara Mulu, Royal Belum, Kilim Geoforest Park, Danum Valley, Wakaf Che Yeh, Taman Tamadun Islam dan banyak lagi,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh layari laman web Tourism Malaysia di https://deals.malaysia.travel/deals. – Malaysiapost 

Komen