Syed Saddiq pertikai ‘Karen’ hanya dikompaun RM3,000

Syed Saddiq pertikai ‘Karen’ hanya dikompaun RM3,000

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikaikan nilai kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap seorang wanita warga asing yang dikenali sebagai ‘Karen’ enggan memakai pelitup muka untuk memasuki sebuah Butik Dior di KLCC, baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah kompaun itu tidak setanding dengan kesalahan yang dia lakukan, namun sebaliknya jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang cuma meletakkan pelitup muka di bawah dagu pula dikenakan RM10,000.

Justeru, beliau menyifatkan situasi tersebut seperti layanan dua darjat antara warganegara dan bukan warganegara.

“Karen VVIP kena kompaun RM3,000 bila dua kali tak pakai mask. Siap lawan cakap lagi!

“Rakyat biasa letak mask dekat dagu kejap pun, kena RM10,000. Sampai bila rakyat nak hadap layanan dua darjat ni?! #DuaDarjat,” katanya menerusi Twitter.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan Karen dikompaun RM3,000 bagi dua kesalahan di mana setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500.

“Kesalahan pertama kerana tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian Internet yang luas.

“Kesalahan kedua pula tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis,” katanya. – Malaysiapost

Komen