Timbalan Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi selepas disahkan positif Covid-19.

Mendiang dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.05 pagi di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching.

Masing sebelum ini dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak selepas disahkan positif Covid-19 pada 28 September lalu.

Difahamkan, Masing, 72, ditidurkan apabila komplikasi kesihatan semakin teruk dan pada minggu lalu dipindahkan ke Pusat Rawatan Pakar Normah untuk rawatan lanjut.

Sebelum itu, pada 31 Mei, adiknya Jantai Masing juga meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Najib Razak menyifatkan pemergian Masing adalah kehilangan besar buat rakyat Sarawak.

“Seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Sepanjang masa saya mengenali beliau, banyak cadangan yang dikemukakannya untuk  membantu pekebun kecil dan sektor komoditi di Sarawak.

“Semoga keluarganya tabah menghadapi saat duka ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mendiang Masing merupakan veteran politik yang amat disegani.

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri pada era pemerintahan Tan Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, Masing turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights