11 kawasan di Klang berisiko banjir

SEBANYAK 11 kawasan sekitar daerah Klang di Selangor berisiko dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar dan monsun timur laut yang dijangka bermula Khamis sehingga 7 November ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Klang, Mohd Shahrizal Mohd Salleh berkata kawasan terlibat ialah Kampung Tok Muda; Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pandamaran dan Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang.

Selain itu Kampung Sungai Serdang; Ban Sementa, Ban Sungai Keramat; Kampung Perepat; Pelabuhan Utara; Telok Gong dan Pulau Ketam, lapor Selangorkini.

Sehubungan itu beliau meminta penduduk di kawasan yang terlibat berhati-hati dan bersedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“JBPD Klang turut mengaktifkan pasukan tinjauan di lokasi berisiko diketuai pasukan bomba sepanjang tempoh fenomena air pasang besar,” katanya selepas melawat pintu air Pandamaran 12 hari ini.

Mohd Shahrizal berkata berdasarkan ramalan fenomena itu dijangka berlaku pada jam 5.21 pagi Khamis ini, manakala 6.02 pagi pada keesokannya, 6.40 pagi pada 6 November dan 7.18 pagi pada 7 November.

“Paras air dijangka boleh mencecah sehingga 5.6 meter sepanjang tempoh itu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights