MAYAT seorang pesara kerajaan yang sudah reput ditemukan dalam sebuah apartmen di Damansara Damai, Petaling Jaya, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mayat lelaki berusia 63 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dalam kediaman berkenaan.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati mangsa adalah warga tempatan yang masih bujang.
“Pegawai Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling yang hadir ke tempat kejadian menjangkakan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh yang agak lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Hotline Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – Malaysiapost