MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendapat kelebihan dalam debat malam tadi dengan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung dasar kabotaj negara ke atas kapal asing yang membaiki kabel dasar laut.
Dengan kelebihan mempunyai akses yang lebih baik melalui pejabatnya, Ka Siong membawa klip video rakaman pertemuan mayanya dengan Yoshio Sato iaitu Naib Presiden syarikat kabel dasar laut global NTT Ltd, untuk menyangkal dakwaan bahawa beliau telah menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit dalam pelaburan.
Dakwaan itu menjadi hujah utama Guan Eng semasa mereka bertengkar mengenai isu bahawa keputusan Ka Siong untuk membatalkan pengecualian kabotaj telah menyebabkan gergasi teknologi menjauhkan diri dari Malaysia, lapor MalaysiaKini.
Antara dakwaan ialah Google dan Facebook telah memintas Malaysia untuk projek kabel bawah laut internet Apricot, yang sedang dijalankan oleh NTT.
Menurut video itu, Sato telah memberitahu Ka Siong bahawa projek Apricot telah dirancang sejak 2017 dan Malaysia memang tidak pernah menjadi sebahagian daripadanya.
“Seperti yang saya nyatakan, pada asalnya, sejak awal, kami tidak bercadang untuk memasang kabel di Malaysia untuk Apricot.
“Sebaliknya, kami merancang untuk membina satu lagi kabel bermula dari Singapura ke India, kami memanggilnya (projek) kabel Mist. Dan kabel Mist akan melibatkan Malaysia,” kata Sato.
Ka Siong kemudian berhujah bahawa kenyataan Sato telah membuktikan bahawa keputusannya untuk membatalkan pengecualian kabotaj tahun lepas tidak ada kaitan dengan Malaysia dikecualikan daripada projek Apricot.
“Saya dapat kenyataan-kenyataan ini daripada sumber terbaik. Beliau yang instrumental membina (projek Apricot).
“Apa juga andaian konon saya sebabkan kerugian negara ini tak masuk akal,” katanya.
Semasa debat, yang disiarkan secara langsung semalam, Guan Eng berhujah bahawa pembatalan pengecualian kabotaj akan menyebabkan kelewatan pembaikan kabel dasar laut.
Beliau berkata negara tidak seharusnya menghalang kapal asing masuk ke negara ini untuk melakukan pembaikan kabel dasar laut, dengan mendakwa Malaysia masih belum mempunyai syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.
“Semua orang tahu bahawa sebarang kerosakan yang melibatkan kabel dasar laut akan menyebabkan kerugian ekonomi jika ia tidak diberi pembaikan segera,” katanya.
Guan Eng juga menuduh Ka Siong cuba memanfaatkan sebuah syarikat tempatan, yang menurutnya hanya mempunyai satu tongkang untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan.
Setiausaha Agung DAP itu mendakwa syarikat Kumpulan OMS didakwa tidak mempunyai penarafan DP2 untuk melayakkan diri untuk jawatan itu.
Bagaimanapun, Ka Siong dalam hujah balasnya mendakwa Lim bergantung kepada maklumat lapuk.
Beliau berkata kini terdapat dua syarikat di negara ini yang boleh melakukan pembaikan kabel dasar laut. Syarikat-syarikat ini mempunyai sejumlah enam kapal kabel dan dua tongkang, menurut Ka Siong.
“Mereka boleh buat kerja itu. Mereka telah aktif di Indonesia. Mereka adalah syarikat yang melakukan pembinaan dan pembaikan kabel kerana mereka diberi peluang di sana.
“Tetapi di sini, mereka tidak diberi peluang. Masalahnya adalah dasar. Kita harus memberi ‘first right of refusal’ kepada mereka yang sudah mempunyai pengalaman,” katanya. – Malaysiapost