PRESIDEN PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-67.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kedua-dua pemimpin terbabit mempertahankan jawatan itu menerusi pemilihan sesi 2021-2023.
Katanya, bagi jawatan Naib Presiden pula, ia menyaksikan empat pencalonan termasuk seorang muka baharu bagi merebut tiga jawatan berkenaan.
“Calon-calon Naib Presiden untuk kita pilih tiga orang seterusnya dalam muktamar ini juga ditetapkan dalam perlembagaan PAS.
“Kita memilih 18 Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan kita menerima pencalonan yang disahkan seramai 36 orang yang akan bertanding.
“Satu lagi sepatutnya diadakan pemilihan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap, tapi saya disahkan tidak ada pertandingan (untuk jawatan-jawatan itu),” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.
Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden parti.
Takiyuddin berkata, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini dicalonkan bagi bertanding sebagai Naib Presiden telah menarik diri daripada merebut jawatan itu.
Menurutnya, muktamar tahunan yang diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Kuala Terengganu akan diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan akan hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian. – Malaysiapost