BARISAN Nasional (BN) meminta PAS menjelaskan istilah ‘menarik diri’ yang dinyatakan parti itu sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, berkata ia penting bagi mengelakkan sebarang isu di kemudian hari, terutamanya jika salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk mencabar BN di sesuatu kawasan.
Bagaimanapun, katanya, beliau mengalu-alukan pandangan Pesuruhjaya PAS Melaka untuk tidak mengambil bahagian sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka berkata, jika PAS berpendirian sebagaimana disebutkan itu, keputusan itu memberi kelebihan kepada kedua-dua parti sama ada Perikatan Nasional (PN) atau BN.
“Sesungguhnya kalau PAS menterjemahkan apa yang dilontarkan dalam isu pertandingan tiga penjuru ini adalah amat baik, tetapi sejauh mana (ia) dilaksanakan seharusnya diterjemahkan dalam penamaan calon nanti.
“Sekiranya PAS ingin menyuarakan rasa kebersamaan dalam lontaran diberi, kalau ada tiga penjuru di mana kawasan penyandang dipertandingkan PAS akan menarik diri daripada gabungan atau pertandingan itu, terserah,” katanya seperti dilaporkan portal Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pendirian PAS itu dilihat tidak jelas melibatkan gabungan PN.
“Tidak guna juga dia (PAS) kata tarik diri, tapi rakan (komponen PN) dia bertanding dengan kita (Umno), jadi kita kena tengok bagaimana terjemahan penarikan ini diberikan seterangnya penjelasan.
“Sama ada PN tarik diri atau PAS yang tarik diri, itu perlu diperjelaskan kita pun tak faham,” katanya .
Media sebelum ini, melaporkan PAS Melaka mengambil pendirian tidak menyokong sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN.
Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek dilaporkan berkata, pihaknya akur dengan keputusan PAS Pusat yang memutuskan penggunaaan logo PN pada PRN itu. – Malaysiapost