Tengku Zafrul tidak tahu Najib dilantik penasihat kerajaan

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui beliau tidak mengetahui bahawa Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai penasihat kerajaan.

Ia selepas satu laporan mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu ditawarkan peranan untuk memberikan nasihat berkaitan ekonomi.

“Saya tidak tahu beliau seorang penasihat. Di Kementerian Kewangan, kami menumpukan kepada usaha memulihkan semula ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan memacu pertumbuhan bagi tahun depan.

“Justeru, fokus adalah untuk memastikan kami meneruskan pembukaan semula ekonomi secara selamat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam satu temubual bersama Haidi Lun dan Shery Ahn dari Bloomberg Television.

Najib, yang sedang mengemukakan rayuan pertuduhan di atas peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dilapor ditawarkan jawatan berstatus menteri.

Menurut laporan media, tawaran itu dalam usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan pengaruh Najib dalam Umno bagi memperoleh majoriti tipis di Parlimen.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia mempunyai ruang fiskal dan monetari untuk menyokong pemulihan, malah kerajaan boleh membiayai Bajet 2022 yang tertinggi dalam sejarah menerusi terbitan bon domestik.

Minggu lalu, beliau membentangkan pelan perbelanjaan bernilai RM332.1 bilion untuk memulihkan semula ekonomi yang terkesan dengan ketidaktentuan politik dan sekatan pandemik.

Ia sebahagian besarnya akan dibiayai oleh pendapatan cukai dan pinjaman, termasuk cukai keuntungan korporat sekali saja ke atas syarikat berpendapatan tinggi.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengekalkan kadar faedah penanda aras di paras terendah, dengan berkata risiko terhadap tinjaun pertumbuhan masih cenderung ke arah penurunan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights