MENTERI Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad bakal penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata Saarani mendahului senarai 192 individu yang menerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak, adalah penerima tunggal Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri, lapor Berita Harian.
Dalam sidang media semalam, Dr Mohd Zahidi berkata, siri pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak tahun ini akan diadakan pada 14 November di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar membabitkan masing-masing 19 penerima bagi 2020 dan 2021.
Katanya, jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat tahun ini disifatkan masih terhad dengan hampir semua penerima dikenal pasti berusia 40 tahun ke atas selain hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria ditetapkan mendapat perkenan Sultan Perak untuk beroleh pengurniaan.
Mohd Zahidi berkata, menyusuli Saarani adalah Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin yang dikurniakan Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk, manakala Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada 13 penerima.
Antara penerima DPMP, Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali; Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Nor Sham Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman; Pakar Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr P N Jeyaseelan.
Istiadat pengurniaan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang mana penerima disyaratkan menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di premis kesihatan yang diiktiraf dalam tempoh tiga hari sebelum istiadat berlangsung. – Malaysiapost