‘Munshi Jewel’ dicekup berniaga guna dokumen palsu

LELAKI warga Bangladesh yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu bagi menjalankan perniagaan jualan barangan komputer dicekup dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Rabu lalu.

Pemilik kedai komputer berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di ibu negara dan bersama isterinya warganegara Indonesia berusia 44 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai ‘Ali’ dikalangan warga Pakistan dan ‘Munshi Jewel’ bagi warga Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai mendapatkan dokumen berkenaan daripada sindiket jualan dokumen palsu atau ‘ID Hack’ dan mampu meraih keuntungan besar hasil perniagaan menggunakan dokumen palsu berkenaan.

“Operasi penguatkuasaan ini adalah merupakan siri operasi ‘Op ID Hack’ bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan ini yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu dari sindiket berkenaan.

“Subjek merupakan pemborong dan penjual barangan komputer di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

“Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, subjek mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, subjek juga turut menyewa sebuah kondominium mewah sebagai kediaman dan hasil pemeriksaan serta soal selidik mendapati warga Bangladesh berkenaan menyamar sebagai warganegara Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman yang dihuni oleh subjek dan isteri.

“Subjek dan isteri disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 15/63 (Akta 155) dan kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta ditangkap mengikut Seksyen 51(3) Akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, kedua-duanya kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

Kredit Foto: Jabatan Imigresen Malaysia

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights