PAS mengesahkan bakal berentap dengan Umno di tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan parti itu bertanding di DUN Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
Kecuali Kelebang, PAS dijangka berentap dengan Umno, selain Pakatan Harapan di tujuh DUN yang mereka tandingi.
Untuk rekod, PAS gagal memenangi sebarang kerusi DUN Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya berkata, PAS mengambil pendekatan bersama PN dan memakai simbol PN di atas gabungan yang lebih besar dan luas untuk penglibatannya dalam arena politik tanah air dan Melaka khususnya.
“Undi popular PAS pun besar juga di Melaka pada pilihan raya tahun lepas. PAS tak boleh sendiri dan keseorangan serta mesti bergabung.
“Gabungan itu mestilah besar dan kuat. PAS memilih untuk bersama dalam Perikatan Nasional,” katanya secara maya.
Abdul Hadi tidak hadir pada majlis yang berlangsung di Shah Alam, petang tadi.
Katanya, pilihanraya adalah penentu masa depan rakyat termasuk negeri Melaka, bukan boleh dimainkan-mainkan.
“Pilihanraya adalah satu langkah untuk menyelamatkan negara dan rakyat,” katanya. – Malaysiapost