Tok Mat, SD tak boleh halang lompat parti

AKUAN bersumpah (SD) tidak boleh digunakan untuk menghilangkan seseorang wakil rakyat daripada melompat parti.

Demikian kata Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ia susulan kenyataan Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat bahawa semua calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani SD sebagai bukti mereka kekal setia kepada parti selepas memenangi pilihan raya kelak.

“Tok Mat, SD tu tak boleh pakai untuk menghalang wakil rakyat lompat parti.

“Yang hanya boleh dikuatkuasakan ialah Akta Anti Lompat Parti yang diiluluskan di Parlimen selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan,” kata Loke menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Loke berkata Mohamad sendiri pernah menerima ‘katak politik’ semasa penggal pertama beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bahau yang menang atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum 2004 dan lompat ke BN pada 2007.

“Selepas ini, saya harap semua parti sama-sama menyokong penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen. Biarlah politik ini ada maruah sikit,” katanya.

Semalam Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata pihaknya melalui peguam parti sedang membuat persiapan untuk membolehkan semua calon menandatangani SD sejurus selepas pengumuman rasmi calon PRN.

“Kita sedang buat persiapan pasukan peguam untuk meneliti tahap kesetiaan semua calon bagi memastikan tiada lagi seseorang yang menang atas tiket BN melompat (keluar parti) bagi kestabilan politik di negara, terutamanya di Melaka.

“Langkah menandatangani SD perlu dilakukan kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum ada lagi akta atau enakmen lompat parti, maka kita terpaksa membuat aku janji ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights