WIRA tragedi Bukit Kepong, mendiang Tan Sri JJ Raj (Jr) meninggal dunia di Pusat Perubatan Ara Damansara di Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Berita sedih itu dikongsi di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menyampaikan ucapan takziah daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM.
Menurut PDRM, mendiang yang terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas Komunis, sewaktu era Darurat pada tahun 1950.
Kemuncak karier mendiang dalam PDRM apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis.
Jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam, untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai petang ini.
“Sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh pesara CP Tan Sri Dato’ Seri Sentosa Setia Diraja JJ Raj (Jr) sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada Pasukan dan negara,” tulis hantaran itu. – Malaysiapost