Lorong Seni Seremban tarikan baharu di Negeri Sembilan

LORONG Seni Seremban kini menjadi satu tarikan baharu di Negeri Sembilan.

Perkongsian video Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Facebook, memaparkan lukisan mural seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma di pintu kedai gunting rambut baru Keng Wah.

Yang menarik perhatian dan keunikan mengenai pintu tersebut adalah ia mempunyai dua lukisan apabila dilihat dari sisi berbeza, seolah-olah dilukis 3 dimensi (3D).

Lorong Seni Seremban itu berkonsepkan ‘Returning The Street To The Public’, Lorong Seni Seremban sepanjang kira-kira 250 meter bermula di Jalan Dato Sheikh Ahmad sehingga ‘Benteng Walk’ itu, dihiasi lebih 30 corak lukisan mural menarik dan kreatif menyusuri lorong serta bangunan-bangunan lama sekitar bandar Seremban.

Terdahulu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban Datuk Masri Razali, berkata, lukisan mural itu berkonsepkan pelbagai genre, grafiti, coret, avant-garde, poster, lukisan warisan oleh enam pelukis tempatan bagi menjayakan projek berkenaan bermula 20 Ogos lalu, dan dijangka siap pada 26 November ini.

“Sepanjang tempoh itu ia turut melibatkan kerja-kerja mengecat mural, pendawaian lampu jalan dan lampu hiasan, menaik taraf tandas awam di bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), sebagai kemudahan kepada pengunjung.

“Selain itu kita ingin menyampaikan mesej kepada pengunjung menerusi paparan mural di dinding lukisan sepanjang di lorong berkenaan, bagi menentang stigma negatif terhadap lorong belakang dan seni grafiti,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights