VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyindir langkah kerajaan yang lebih rela menggunakan jenama asing berbanding jenama tempatan sebagai kereta rasmi hanya semata-mata dapat jimat kadar sewa RM3 sebulan.
Menerusi hantaran di Facebook, Shahrir berkata, penggunaan Toyota Vellfire 2.5L sebagai Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) Menteri Kabinet bagi menggantikan Proton Perdana 2.4 Premium yang ditamatkan pengeluarannya pada 2014 dapat menjimatkan duit kerajaan.
“Toyota Vellfire ialah “kereta bertaraf menteri” yang menjimatkan duit kerajaan RM3 sebulan dari pakai kereta jenama tempatan!
“Soal jenama asing tidak penting. Yang penting jimat cermat! Sikit-sikit lama-lama jadi bukit!” katanya di Facebook, hari ini.
Semalam, Kementerian Kewangan menjelaskan, kerajaan memutuskan pertukaran itu setelah mengambil kira pelbagai perbincangan pertukaran KRJ di media sosial.
Katanya, pemilihan Toyota Vellfire 2.5L berikutan kos sewa bulanan model berkenaan lebih rendah iaitu RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium (RM4,854.41).
“Cadangan penggantian Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya sudah dipertimbangkan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.
“Untuk makluman, usia KRJ bagi jemaah menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi jemaah menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” kata kenyataan kementerian itu. – Malaysiapost