PEMIMPIN PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad membidas Barisan Nasional (BN) yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada proses penamaan calon, hari ini.
Menerusi ciapan di Twitter, Nik Nazmi memuat naik gambar Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama kumpulan penyokongnya yang hadir ke Pusat Penamaan Calon (PCC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, pagi tadi.
Kelihatan di gambar itu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kira-kira 20 orang penyokong BN hadir untuk memberi sokongan kepada Rauf di perkarangan luar PCC berkenaan.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika pelanggaran SOP itu tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa.
“Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusof bawa rombongan 20 orang termasuk Najib Razak untuk penamaan calon PRN Melaka, langgar SOP SPR.
“Ismail Sabri apa tindakan kepada mereka? Takkan parti sendiri dapat lesen special kot. Kita kan Keluarga Malaysia,” ciapnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengeluarkan amaran kepada semua parti agar sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang tempoh penamaan calon.
Terdahulu, media melaporkan polis akan membuka satu kertas siasatan berhubung tindakan calon Pakatan Harapan (PH) yang membawa penyokong di luar perkarangan PPC, Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Rais Mukhliz Azman Aziz mengesahkan mengenai perkara itu dan memaklumkan kejadian itu berlaku sekitar jam 9 pagi tadi. – Malaysiapost
Kredit Foto: Malaysiakini