Pemuda Umno yakin kemampuan Dr Akmal di DUN Merlimau

PEMUDA Umno yakin dengan kemampuan Dr Muhamad Akmal Salleh yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Dr Muhamad Akmal yang disifatkan mempunyai banyak kelebihan di DUN tersebut.

Katanya, Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Jasin serta Naib Ketua Pemuda Umno Melaka adalah individu yang dekat di hati penduduk kerusi berkenaan.

“Anak jati Merlimau berusia 33 tahun ini yang mempunyai klinik sendiri di Pekan Merlimau amat dekat di hati masyarakat Merlimau.

“Dengan motto beliau yang juga tertera di depan Klinik ‘Anak Kampung Untuk Orang Kampung’ memanfaatkan ilmu perubatan yang diperolehi ketika menuntut di Rusia untuk berkhidmat di Merlimau,” katanya berkongsikan latar belakang mengenai Dr Akmal di hantaran Facebook miliknya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, ketika melakukan ‘walkabout’ di sekitar Merlimau, beliau turut sempat bertanyakan secara rawak kepada masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan tentang sikap dan perkhidmatan Dr Muhamad Akmal.

“Tersentuh hati saya apabila seorang berbangsa Tionghua dengan pantas berkata, Dr Akmal pasti saya sokong kerana tiga bulan berturut-turut dia datang ke rumah merawat ibu saya yang sakit sehingga ajalnya sampai dua bulan lalu. Jasa dia pasti saya tak lupa.

“Seorang lagi anak muda yang sempat saya temui ketika bermain futsal bersama pula menyebut, Dr Akmal ni baik sangat. Kalau dia merawat orang kampung sampai ke rumah, jika dikalangan orang sudah, dia takkan ambil sebarang bayaran.

“Malah, lebih menarik lagi, Dr Akmal dan Pemuda Umno Jasin menyediakan perkhidmatan sebuah ambulan secara percuma untuk membawa penduduk Merlimau yang sakit ke hospital.

“Dia sendiri menggunakan gaji beliau sebagai COO di Putra Specialist Hospital untuk menggajikan pemandu ambulan untuk mengangkut pesakit di Merlimau secara percuma,” katanya.

Dr Muhamad Akmal dijangka akan bertemu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Alim Shapie dan calon Pakatan Harapan (PH) Azrin Ab Majid di kerusi berkenaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights