BARISAN Nasional (BN) akan melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 10 November ini.
Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pelancaran itu akan dilakukan secara maya.
“Jadi, kita tunggu pengisian dan bagaimana kaedah manifesto ini dibentangkan kepada masyarakat.. kita tunggu pada 10 November ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Ketika ditanya apa yang akan dibawakan Ab Rauf di dalam kempen PRN Melaka kali ini, katanya, beliau mahu memberi tumpuan kepada kestabilan politik Melaka demi kesejahteraan rakyat.
“Sudah pasti kita memerlukan sebuah kestabilan untuk kemakmuran rakyat dan kita akan memberikan beberapa cadangan untuk kita melihat kemakmuran sepanjang koridor Masjid Tanah ini akan memberikan satu pulangan kepada rakyat sama ada dalam bentuk sosioekonomi ataupun dalam bidang lain,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar. – Malaysiapost