PRN Melaka: Pentas uji setiakawan, kenal pasti siapa lawan sebenar

PENTAS Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara rasminya dibuka hari ini, dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di 28 lokasi.

Bermula 9 pagi ini, bakal calon diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing, sekali gus mengisi pentas demokrasi untuk memilih wakil rakyat bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Menariknya, proses kali ini diadakan dalam suasana norma baharu sesuai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, bagi mengelak risiko penularan Covid-19.

Semestinya, tatacara perjalanan pilihan raya digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini lebih ketat.

Ini termasuk hanya membenarkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke pusat penamaan bagi mengemukakan kertas pencalonan.

Calon juga tidak dibenarkan berarak bersama penyokong parti masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan.

SOP sama juga perlu dipatuhi sepanjang tempoh kempen sehingga hari penentuan pada 20 November depan, termasuklah semasa di pusat penjumlahan undi.

Apa yang pasti, lensa rakyat kini bukan sekadar tertumpu kepada perjalanan pilihan raya dalam norma baharu. Namun lebih menarik, ramai ingin melihat siapa sebenarnya kawan dan siapa pula lawan dalam pentas PRN Melaka ini.

Yang jelas, perkembangan memperlihatkan pertembungan di PRN Melaka bukan lagi antara blok kerajaan dan pembangkang. Sebaliknya, ia lebih kepada dua kuasa politik utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Kedua-duanya gagal mencapai kata sepakat dalam PRN Melaka apabila BN mengumumkan meletakkan calonnya di semua 28 kerusi DUN membabitkan Umno (20 kerusi), MCA (tujuh) dan MIC (satu).

Ramai melihat keputusan ini bukan suatu yang mengejutkan kerana BN khususnya Umno sendiri, sudah lama cenderung menolak kerjasama di bawah payung PN khususnya bersama Bersatu, meskipun berada dalam ‘kapal’ sama dalam Kerajaan Persekutuan.

Cuma sedikit keliru. Apa sudah jadi dengan Muafakat Nasional (MN)? Apakah PAS yang selama ini ibarat tongkat ketika parti itu berusaha untuk bangkit, sudah mula ditolak ke tepi?

Yang pasti, PAS dalam PRN Melaka berada di pihak PN. Dalam blok PN, lapan daripada 28 kerusi DUN diserahkan kepada calon PAS, manakala Bersatu dengan 15 kerusi dan lima lagi kepada calon Gerakan.

Pasti menarik untuk dilihat pertembungan antara BN dan PAS di lapan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Apakah senario ini menguntungkan? Atau mungkin ia akan hanya memberi kelebihan kepada ‘lawan’ sebenar BN dan PN iaitu PH. Ini antara ditunggu-tunggu.

Selain penentu nasib BN dan PN, PRN Melaka juga menjadi medan ujian bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan sehingga Kerajaan Melaka terkubur baru-baru ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, mengumumkan dua bekas Adun Umno iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan diberi tempat bertanding atas tiket PH.

Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor, kerusi tradisi Amanah.

Sementara, Bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas, sekali gus membawa pertandingan sekurang-kurang lima penjuru bagi kerusi DUN terbabit.

Empat calon diumumkan bakal bertanding di kerusi sama sebelum ini ialah Mohd Azrudin Md Idris (PN-Bersatu), Datuk Kalsom Nordin (BN), Muhammad Danish Zainudin (PH) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) meletakkan Dr Aluwi Sari.

Turut mencuri tumpuan kerusi DUN Tanjung Bidara yang bakal menyaksikan pertembungan antara calon Umno iaitu Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili PN.

Sementara, PH meletakkan calonnya, Zainal Hassan daripada PKR.

Hakikat perlu diterima, percaturan dalam PRN Melaka kali ini akan memperlihatkan semua 28 kerusi bakal menyaksikan saingan sekurang-kurangnya tiga penjuru.

Dari segi undi, di atas kertas ramai yang setuju bahawa sokongan blok kerajaan kini sudah berbelah bahagi, sedangkan sokongan PH masih ‘solid’.

Jadi, apakah neraca yang akan menjadi timbangan kepada pengundi dalam memilih wakil rakyat masing-masing. Apakah faktor lambang parti akan jadi pilihan, atau mungkin faktor calon lebih utama?

Langkah BN bertanding sendirian dilihat berisiko, namun bak kata pepatah – kalau kail panjang sejengkal, laut jangan diduga.

Apakah BN ada resepi tersendiri untuk menang atau mungkin sekadar berkesperimen di Melaka? Percaturan berani BN menampilkan ramai muka baharu dalam PRN Melaka dengan mengepikan orang lama walaupun disokong ramai, tetapi dilihat berisiko.

Umum tahu, ‘warlord’ dalam Umno sukar diduga dan pengalaman lalu cukup banyak mengajar bahawa orang lama dalam Umno tidak segan silu ‘kacau daun’ jika tempat mereka dikacau.

Harapnya, budaya sabotaj akibat kecewa tak lagi berlaku dalam Umno.

Apa pun, ramai yang setuju PRN kali ini bukan sekadar tertumpu kepada isu ‘kalah-menang’ semata-mata, tetapi lebih kepada neraca untuk mengukur sejauh mana ikhlasnya kerjasama dan gabungan parti politik negara.

Yang jelas, PRN Melaka hanya sekadar kayu pengukur kepada matlamat yang lebih besar yang bakal ditempuhi iatu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights