Lompat parti: Pening kepala geng PH dan pengundi – Najib

PENDIRIAN pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam isu ‘lompat parti’ dilihat mengelirukan ahlinya sendiri dan juga pengundi apabila tindakan yang diambil tidak selari dengan prinsip ditetapkan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak, berkata keadaan itu dapat dilihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika ini.

Menurutnya, sebelum ini PH menolak individu yang lompat parti dan mengecam mereka sebagai pengkhianat, namun sebaliknya menerima dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno sebagai calon PH dalam PRN Melaka.

“Pening kepala geng PH dan pengundi. Dulu kata tak akan terima individu lompat parti sebab mereka pengkhianat.

“Lalu kata tiada masalah terima individu lompat parti untuk PRN Melaka sebab mereka adalah katak berprinsip.

“Akhirnya letak dalam manifesto bahawa mereka akan gubal enakmen lompat parti jika mereka menang PRN Melaka,” katannya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berpendapat pengundi tidak lagi mudah ditipu oleh PH seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“PH tetap fikir pengundi masih mudah untuk ditipu seperti PRU dulu,” katanya.

Sabtu lalu, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu, mengumumkan dua bekas ADUN Umno sebagai calon PH dalam PRN Melaka 20 November ini.

Bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Datuk Nor Azman Hassan pula akan mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) di DUN Pantai Kundur yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Kedua-duanya sebelum ini menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri sehingga kerajaan Melaka tumbang, sekali gus keahlian mereka dalam Umno terlucut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights