PRN Melaka ibarat ‘makmal’, uji hala tuju PRU15 – PAS

PAS menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ibarat sebuah ‘makmal’ untuk menguji segala kemungkinan sebelum parti itu menentukan hala tuju dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob, berkata strategi parti itu untuk menghadapi PRU15 bergantung kepada sikap pengundi dalam PRN Melaka.

“PRN ini akan menjadi satu pilihan raya penting untuk melihat bagaimana masa depan untuk hadapi PRU15 dan pada saya, ini ‘makmal’ untuk kita lihat.

“Kita belum tahu macam mana, tetapi keputusan PRN itu akan menjadi satu keputusan terbaik dan landasan kepada PRU15 nanti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian

Ahmad turut berharap rakyat keluar mengundi pada PRN tersebut sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita masih dalam pandemik namun saya harap rakyat keluar mengundi dengan mematuhi SOP sebab nak melihat peratusan undi.

Harap mereka tidak mensia-siakan, bergantung pada sikap yang akan dilihat nanti kerana setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membuat pemilihan dan kita akan menilai sikap ini untuk berdepan PRU15 nanti,” katanya.

PAS bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di lapan kerusi pada PRN Melaka iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.

PRN Melaka menyaksikan 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights