PRN Melaka: Kempen hari kedua makin rancak

HARI kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin rancak apabila calon-calon turun berjumpa pengundi di kawasan masing-masing.

Walaupun tidak dibenarkan mengadakan aktiviti ceramah secara bersemuka, perkumpulan serta walkabout, setiap calon menggunakan cara tersendiri untuk mendekati pengundi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari berkongsi gambar beliau mengedar risalah kempennya di sekitar DUN berkenaan menggunakan skuter elektrik.

Adly menggunakan skuter elektrik untuk edar risalah

“Pagi ini turun edarkan risalah di sekitar DUN Bukit Katil. Cuaca cerah pagi ini diharap akan berterusan sehingga ke hari pengundian.

“Pesanan kepada rakyat Melaka, jangan takut untuk keluar mengundi pada 20 November nanti, ikuti SOP yang telah ditetapkan. Masa depan lima tahun negeri Melaka terletak ditangan anda. Sayangilah negeri kita. Ini Rumah Kita,” tulis Pengerusi PH Melaka itu di Facebook.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula menemui Persatuan Nelayan Kampung Balik Batu di Tanjung Bidara.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka itu bakal berdepan saingan tiga penjuru termasuk calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Rauf jumpa masyarakat nelayan di Tanjung Bidara

Calon BN DUN Rim, Datuk Khaidiriah Abu Zahar atau Dira bersarapan di sebuah kedai di DUN berkenaan sambil berjumpa pengundi serta bertanya harapan mereka.

“Saya singgah sarapan pagi ke Kedai Julas. Kedai makan ni memang jadi tumpuan penduduk setempat.

“Banyak impian yang mereka kongsikan. Terasa satu tanggungjawab yang perlu digalas demi penduduk Rim,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Calon Bebas DUN Pengkalan Pasir, Datuk Norhizam Hassan Baktee pula memuatnaik di media sosialnya video usaha-usaha yang telah dilaksanakan sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Mei 2018.

Bekas Exco Melaka itu berdepan saingan lima penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi atas tiket PH pada PRU14 lalu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights