‘Apa kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19’

‘Apa kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19’

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoal mengapa peruntukan lebih besar dicadang kepada Kementerian Pertahanan berbanding Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata KKM lebih memerlukan peruntukan besar ketika negara masih berdepan penularan Covid-19.

“Apakah kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19? Saya minta Menteri Kewangan untuk semak semula dan beri fokus kepada KKM.

“Masa kita sakit baru kita tahu, ketika sihat kita bersyukur…janganlah potong peruntukan kepada KKM,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Azizah juga mempersoal pemotongan dana berjumlah RM4 juta kepada Jabatan Audit Negara kerana dibimbangi akan menjejaskan pemantauan dan memastikan setiap perbelanjaan dinikmati rakyat.

Beliau berkata ia juga memberi mesej salah terutama dalam mengatasi isu ketirisan yang baru-baru ini dilaporkan membabitkan kehilangan peruntukan RM620 juta.

Katanya, dana sebesar itu mampu menampung pelbagai perbelanjaan seperti projek tebatan banjir yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Sepatutnya kita perlu perkasa pemantauan oleh Jabatan Audit Negara untuk menyemak perbelanjaan di setiap kementerian tetapi kenapa tahun ini peruntukannya dipotong RM4 juta.

“Sekarang ini bukan sahaja pendapatan negara menguncup tetapi hutang pun dijangka mencecah RM1 trilion, jadi kita perlu pastikan setiap wang kita tidak diseleweng,” katanya. – Malaysiapost

Komen