Kerajaan galak pemaju perumahan swasta laksana konsep bina kemudian jual

Kerajaan galak pemaju perumahan swasta laksana konsep bina kemudian jual

KERAJAAN amat mengalu-alukan konsep pembinaan secara Build-Then-Sell 10:90 bagi pemajuan perumahan swasta, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan-Peraturan telah memperuntukkan Jadual I dan Jadual J iaitu perjanjian jual beli bagi pembinaan pemajuan perumahan secara Build-Then–Sell 10:90.

Dalam kaedah pembinaan Build-Then-Sell, katanya pemaju mengenakan 10 peratus wang pendahuluan daripada harga jualan kepada pembeli, manakala baki 90 peratus dikenakan setelah rumah siap dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta penyerahan pemilikan kosong (VP).

“Antara faktor menyebabkan sesuatu projek perumahan terbengkalai ialah kegagalan perancangan, skim pemajuan terlalu besar dan pemantauan pemajuan pembinaan yang tidak berkesan.

“Oleh itu, bagi projek-projek perumahan termasuk juga dilaksanakan agensi di bawah KPKT, kementerian sedang mengkaji langkah terbaik untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan dan dapat dielak di masa depan.

“Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa halatuju pemajuan perumahan harus menuju kepada kaedah penjualan berkonsepkan bina kemudian jual (BKJ),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan William Leong (PH – Selayang) sama ada kerajaan akan mengamalkan konsep Build-Then-Sell 10:90 kerana masalah projek perumahan terbengkalai masih tidak diselesaikan.

Reezal Merican berkata perkara itu bagaimanapun perlu diperhalusi memandangkan suasana ekonomi negara yang dilanda pandemik Covid-19 tidak sesuai
untuk mewajibkan pemajuan secara BKJ.

Katanya, melalui Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025, di bawah Fokus 2 iaitu menambah baik aksesibiliti dan tahap kemampuan memiliki rumah, KPKT telah menggariskan pelan tindakan 2.1.4 bagi memastikan peralihan daripada JKB kepada BKJ dilaksanakan secara berperingkat.

“Dalam merealisasi hasrat ini, bermula pada tahun 2019, KPKT telah membuat kajian dan pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan
(Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118]. “Akta dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2022. Antara pindaan yang
dicadangkan adalah:

(a) Jadual pembayaran perjanjian jual beli Jadual G dan H akan lebih mirip kepada BKJ, di mana bayaran peringkat awal hanya
merangkumi 40% dan baki bayaran semasa pemakluman selepas pembeli menerima notis daripada pemaju bagi penyerahan pemilikan kosong dengan disokong perakuan siap dan pematuhan (CCC).

(b) Elemen tuntutan bayaran daripada pembeli oleh pemaju adalah tolak 5% (contoh; jika tuntutan adalah 40%, maka pembeli hanya membayar 35%). Semua wang pegangan ini, akan dilepaskan kepada pemaju selepas projek mendapat CCC. Ini untuk mengelak tuntutan melebihi atau tidak sepadan dengan kerja yang diperakukan.

(c) Jika sesuatu projek ditakrifkan sebagai lewat atau sakit oleh kementerian berdasarkan jadual kemajuan projek yang dikemukakan oleh pemaju tidak sama dengan pemajuan fizikal, maka syarikat berkenaan tidak diluluskan untuk memohon
Permit Iklan dan Jualan untuk projek yang lain. Sementara itu, Ahli Lembaga Syarikat pemaju berkenaan disenarai hitam dan tidak dibenarkan keluar negara serta pemegang saham tidak benarkan untuk melabur di syarikat lain.

“Justeru, dengan adanya pindaan tersebut, kerajaan berpandangan BKJ boleh dilaksanakan secara komprehensif dalam industri hartanah selepas tahun 2023,” katanya. – Malaysiapost

Komen