RM150 juta peruntukan bagi PRN Sarawak – Wan Junaidi

RM150 juta peruntukan bagi PRN Sarawak – Wan Junaidi

KOS yang diperuntukkan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah berjumlah RM150 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kos tersebut merangkumi peralatan pilihan raya, pembangunan ICT, logistik dan keperluan lain termasuk persediaan pencegahan jangkitan Covid-19.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kos bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-12 adalah berjumlah RM150 juta.

“Ia merangkumi perolehan peralatan pilihan raya, pembangunan ICT, logistik, elaun petugas dan keperluan lain yang berkaitan termasuk peralatan Covid-19 dan mengambil kira pelaksanaannya mengikut garis panduan pencegahan Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) mengenai jumlah peruntukan akan diberikan untuk PRN Sarawak akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, DUN hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan. – Malaysiapost

Komen