Syarikat balak mesti selenggara jalan rosak akibat pembalakan – Anwar

Syarikat balak mesti selenggara jalan rosak akibat pembalakan – Anwar

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan memastikan syarikat balak yang mengaut keuntungan sehingga berbilion ringgit, menyelenggara jalan raya yang dirosakkan akibat aktiviti tersebut.

Anwar berkata demikian ketika menegur jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Hasbi Habibollah pada sidang Dewan Rakyat hari ini yang didakwa seolah-olah melepaskan pihak tersebut daripada tanggungjawab berkenaan.

“Saya terpanggil mengulas jawapan timbalan menteri mengenai lori dan jalan balak sebentar tadi, sepatutnya jawapannya adalah kerajaan harus memastikan syarikat balak yang mengaut keuntungan berbilion ringgit diberi tanggungjawab jaga jalan itu.

“Bukan kata sudah lepas (selesai pembalakan) dan bukan tanggungjawabnya lagi, ada juga jalan yang bukan laluan balak dirosakkannya seperti berlaku di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika bertanya soalan tambahan kepada Hasbi di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Hasbi menjawab soalan Anyi Ngau (PH-Baram) berhubung program pembinaan dan penyelenggaraan jalan luar bandar.

Sementara itu Anwar juga meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar tidak lepas tangan dalam isu penyelenggaraan jalan menggunakan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) kepada negeri.

“Ini kerana seperti disebut (Ahli Parlimen) Johor Bahru (Akmal Nasrullah Mohd Nasir) jalan diselenggara menggunakan dana MARRIS dilaksana syarikat tidak bertanggungawab dan menyebabkan ketirisan.

“Dana RM1 bilion tidak sampai ke bawah dan sebab itu kementerian perlu bersama pantau keadaan ini, bukan kata ini di bawah tanggungjawab negeri,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Anwar Ibrahim

Komen