Pemeriksaan haid satu tradisi bagi pelajar – Radzi

Pemeriksaan haid satu tradisi bagi pelajar – Radzi

MENTERI Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelajar menyifatkan pemeriksaan haid merupakan satu tradisi dilakukan di kalangan senior.

Dr Radzi berkata, berdasarkan penjelasan itu, pemeriksaan berkenaan telah dilaksanakan sejak sekian lama.

“Jadi, nasihat telah diberi kepada pelajar yang terlibat bahawa amalan itu harus dihentikan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas Teo Nie Ching (PN-Kulai) yang menyuarakan penghargaan kepada KPM kerana mengeluarkan pekeliling kepada semua ketua Jabatan Pendidikan Negeri pada 2 November lalu untuk menekankan amalan itu dilarang dan bertanya apakah tindakan lain yang diambil.

Mengulas lanjut, Dr Radzi berkata, pihaknya memutuskan untuk tidak mendedahkan pekeliling tersebut kepada orang awam kerana mahu mengurangkan tekanan yang dihadapi pelajar terlibat.

“Selain pendekatan nasihat kepada pelajar, pekeliling bertarikh 2 November kepada semua ketua Jabatan Pendidikan Negeri juga adalah satu peringatan.

“Apabila satu pengesahan yang ia memang berlaku, kita keluarkan surat supaya perkara ini mestilah diberhentikan sepenuhnya di mana-mana institusi di bawah KPM,” katanya.

Dalam pada itu, Teo turut bertanya jika ada pihak yang memberi arahan kepada pelajar untuk membuat pemeriksaan itu kepada pelajar lain.

Dr Radzi berkata, pelajar sendiri yang menyatakan ia adalah tradisi daripada kepimpinan pelajar untuk memastikan disiplin di sekolah.

“Sesetengah mereka menganggap ini satu tradisi yang dilaksanakan sekian lama dan ada di antara mereka yang tidak tahu pun perkara ini tidak patut dilaksanakan.

“Ini adalah penjelasan ikhlas daripada anak-anak tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Radzi berkata, KPM masih menyiasat jika ada guru yang terlibat secara langsung dalam amalan itu.

“Tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap guru yang didapati terlibat,” katanya.

Terdahulu, Radzi menyertai Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha KPM mengadakan kunjungan ke Kolej Vokasional ERT Setapak di Kuala Lumpur, susulan dakwaan berlaku pemeriksaan haid terhadap pelajar. – Malaysiapost

Komen