Ku Nan buka klinik percuma untuk warga Putrajaya

Ku Nan buka klinik percuma untuk warga Putrajaya

BENDAHARI Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pembukaan ‘Klinik Rakyat Ku Nan’ yang akan beroperasi dalam waktu terdekat.

Menerusi hantaran Facebooknya, beliau yang dikenali sebagai Ku Nan berkata, pemegang Kad Klinik dari Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Putrajaya akan mendapat rawatan percuma seperti ubat-ubatan biasa dan pakar.

“Tekad saya memang dari rakyat, untuk rakyat dan demi rakyat. Insya-Allah Klinik Rakyat KuNan akan beroperasi tidak lama lagi di Presint 9, Putrajaya.

“Klinik ini akan dikendalikan oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir, Dr Tengku Muhammad Hafiz dan Dr Megat Nubli,” katanya.

Ku Nan menjelaskan ketiga-tiga doktor berkenaan merupakan anak saudaranya yang diamanahkan untuk mengendalikan klinik komuniti itu.

Katanya, perkhimatan itu dilaksanakan untuk membantu klinik kerajaan sedia ada, selain mempermudahkan warga Putrajaya mendapat khidmat kesihatan tanpa bayaran.

“Ia akan dapat meringankan beban kewangan warga Putrajaya. Semua pembiayaan akan ditanggung dan moga usaha ini akan mendapat berkat dari Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen