Semua calon lompat tersungkur

Semua calon lompat tersungkur

KESEMUA ‘pengkhianat’ yang menjadi punca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terpaksa diadakan hari ini, tersungkur di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka tandingi.

Lebih memeritkan, mereka bukan sahaja kalah, malah terpaksa akur dengan pilihan rakyat Melaka yang tidak mahu ahli politik mementingkan diri sendiri menjadi wakil rakyat lagi.

Datuk Seri Idris Haron yang mengetuai ’empat sahabat’ menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali Oktober lalu, kalah di DUN Asahan.

Beliau yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Pemuda Umno Melaka Fairul Nizam Roslan yang memperolehi 5,659 undi berbanding 2,666 undi.

Manakala bekas calon BN yang kini mewakili PH Datuk Nor Azman Hassan gagal mempertahankan DUN Pantai Kundor yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Nor Azman hanya mendapat 2,799 undi di belakang calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Ridzwan Mustafa yang memperolehi 3,133 undi.

DUN Pantai Kundor berjaya dimenangi oleh BN menerusi calonnya Datuk Tuminah Kadi yang memperolehi 3,960 undi.

Sementara itu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang bertanding atas tiket Bebas seperti harimau hilang taring, tewas di DUN Pengkalan Batu.

Beliau gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak dua penggal yang lalu.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka hanya memperolehi 1,198 undi di kedudukan keempat dalam saingan lima penjuru.

Calon BN Kalsom Nordin menang apabila mendapat 4,718 undi, menewaskan calon PH daripada DAP Muhammad Danish Zainuddin yang memperolehi 4,676 undi.

Manakala calon PN Mohd Azrudin Md Idris hanya memperolehi 2,608 undi.

Sementara itu, seorang lagi ‘pengkhianat rakyat’ Datuk Noor Effandi Ahmad yang juga bekas Adun Telok Mas tidak menyertai PRN kali ini. – Malaysiapost

Foto kredit : Yusof Mohamad

Komen