Ada angin perubahan tapi belum begitu kuat – Muhyiddin

Ada angin perubahan tapi belum begitu kuat – Muhyiddin

PERIKATAN Nasional (PN) akur serta berlapang dada menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini. 

Bagaimanapun Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PRN Melaka telah merintis jalan kepada gabungan itu bertapak di negeri itu namun masih belum berupaya untuk menang sekali gus membentuk kerajaan. 

“Ini menunjukkan bahawa Perikatan Nasional sudah membuat satu ‘in road’ di negeri Melaka ini. 

“Sudah ada angin perubahan tetapi nyata belum begitu kuat hingga berupaya kita mendapat bilangan yang lebih besar untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam sidang media di Melaka, malam tadi. 

Mengulas mengenainya, Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu tetap bersyukur kerana calon-calon PN meskipun kalah namun tetap berupaya memberi saingan kepada pencabar. 

“Saya bersyukur kerana boleh dikatakan sebahagian besar jumlah calon kita telah dapat jumlah undi yang menggalakkan hingga menjadi pemcabar begitu besar juga kepada parti yang lain. 

“Saya boleh nyatakan majoriti yang kalah kita sebahagiannya di bawah 1,000, ada juga yang hanya 100 atau 300 sahaja,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berkata, PN akan membuat kajian mendalam terhadap keputusan PRN Melaka yang menyaksikan gabungan itu hanya berjaya menawan dua daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. 

PN menerusi calon Bersatu menang di DUN Sungai Udang dan Bemban, manakala PAS dan Gerakan yang bertanding lapan dan lima kerusi tewas kesemuanya. 

“Kita akan membuat kajian yang mendalam kerana inilah PN sebagai gabungan parti Bersatu, PAS dan juga Gerakan bekerja sebagai satu team yang boleh dikatakan mantap,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada BN kerana telah mencapai kemenangan besar iaitu 21 kerusi DUN sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri. 

” Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pengundi di negeri Melaka yang telah menyatakan sokongan kepada semua calon-calon kita dan juga nak ucapkan setinggi tahniah kepada Barisan Nasional yang telah pun berupaya membentuk kerajaan di negeri Melaka. 

“Saya berharap kerajaan BN yang dibentuk nanti dapat menunaikan segala apa yang telah dijanjikan kepada rakyat negeri Melaka sebagaimana yang terkandung di dalam manifestonya,” katanya. – Malaysiapost

Komen